Agak jarang bagi sesesbuah konsol menawarkan program pemburuan pepijat (bug bounty) ketika kitaran hayatnya hampir menemukan penghujungnya.
Baru-baru ini, Sony telah mengumumkan program pemburuan pepijat yang menawarkan ganjaran bagi sesiapa yang berjaya menemukan masalah pepijat pada PlayStation 4 (PS4) dan PlayStation Network (PSN).
Program sedemikian sudah dilancarkan sejak hampir setahun yang lalu, cuma hanya kini ianya dibuka kepada orang ramai.
Bagi menjayakan program ini, Sony telah menjalinkan usahasama dengan HackerOne. Sony menawarkan bayaran di antara US$100 (~RM428) hingga US$50000 (~RM214075), atau lebih tinggi bergantung pada tahap kritikal sesebuah masalah pepijat yang diketemukan.
Masalah pepijat yang dikehendaki perlu diburu meliputi konsol PS4, aksesorinya, sistem operasi, PSN dan juga laman-laman yang berkaitan dengannya.
Menurut ZDNet, Sony adalah syarikat yang ketiga dari pengeluar-pengeluar konsol yang melancarkan program pemburuan pepijat. Nintendo pernah melancarkan program yang serupa pada 2016 untuk Nintendo 3DS. Manakala Microsoft pula telah melancarkannya awal tahun ini. Setakat ini, hanya Sony yang telah menawarkan ganjaran pemburuan pepijat yang paling tinggi.
Penerobosan besar yang berlaku pada Nintendo awal tahun ini mungkin mendorong pihak Sony mempergiatkan usaha memburu pepijat ini.
Platform PlayStation tidak sunyi dari sebarang isu dan pada tahun 2011 telah dilaporkan platform tersebut telah diceroboh. Insiden berkenaan telah membuatkan Sony mengambil inisiatif melaksanakan 2FA untuk akaun-akaun PSN.
Sumber : HackerOne