Antara ciri-ciri baru Android yang ditunggu-tunggu mungkin hampir sudah siap. Ciri-ciri yang membolehkan anda berkongsi fail antara peranti Android dengan cepat, mudah, dan tanpa wayar sama seperti fungsi AirDrop Apple; ia dinamakan Nearby Share kini sedang diuji oleh beberapa pengguna terpilih.
Menurut Google, ciri Nearby Share ini boleh digunakan pada peranti-peranti yang dipasang dengan sistem operasi Android 6.0 (Marshmallow) keatas, dan boleh digunakan untuk berkongsi pelbagai jenis fail secara pantas, termasuklah gambar, video dan juga pautan.
Ini adalah bagaimana Nearby Share berfungsi. Pertama ialah penerima fail harus membuatkan peranti mereka boleh dilihat oleh peranti penghantar sebelum fail-fail tersebut boleh dihantar.
Kedua, fail-fail ini tidak boleh dikongsi secara automatik, dan pengguna lain harus mengesahkan penerimaan fail tersebut. Ini adalah supaya penerima tidak menerima fail-fail yang tidak diingini.
Buat masa ini, Google masih belum mengesahkan bilakah ciri Nearby Share ini akan dikeluarkan untuk semua peranti Android. Jika anda ingin mencubanya, anda boleh memuat-turun APK Google Play Services Beta melalui APKMirror.
Sumber : AndroidPolice